MALAYSIA MILIK AKU DAN AKU MILIKNYA

Posted on October 7, 2019

0


Menjadi kebiasaan kepada saya untuk menghantar ucapan Hari Malaysia kepada semua rakan dalam senarai hebahan dan kumpulan Whatsapp yang saya ada di dalamnya. Seorang rakan ada memberi respon mengatakan bahawa beliau tidak berasa senang hati hari ini untuk mengucapkan kepada sesiapa saja ‘Selamat Hari Malaysia ‘, bukan kerana kurang rasa patriotik beliau, namun kerana beliau sememangnya tidak merasakan gembira hari ini. Beliau adalah seorang rakyat Malaysia yang tidak gembira dan mungkin beliau tidak keseorangan merasakan gembira pada Hari Malaysia ini dan saya dapat memahami perasaan beliau.

Dalam beberapa bulan ini, kita dihempas dengan politik longkang, ada orang menghina sesetengah kelompok warganegara sebagai ‘tetamu’ dalam negara ini, isu Jawi-Khat dan pemboikotan produk-perkhidmatan buatan bukan Muslim. Menambah sesak, kerajaan Pakatan Harapan kelihatan tidak bermaya dan kering idea bagi menangani isu yang tersebut. Apa juga baki euforia perubahan kerajaan pada tahun lepas telah dihembus taufan dan Malaysia Baharu hanyalah angan-angan kepada kebanyakan pemimpinya.

Untuk mengatakan saya tidak terkesan dengan perkembangan ini adalah satu ketidakjujuran dari pihak saya, namun saya ingin bangkit dari semua polemik negatif ini dan mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah tanah tumpah negara saya , dan tidak ada sesiapapun, yang boleh memberitahu saya atau warganegara yang lain yang sebaliknya. Negara ini milik saya dan bukannya sebahagian politikus atau pemimpin agama yang cuba mendefinisikan negara atau mendefinisikan siapa rakyat Malaysia dari sudut pandangan sempit mereka, dan biasanya melalui jendela taksub perkauman mereka. Di Hari Malaysia ini, saya ingin mengisytiharkan Malaysia sebagai milik saya dan saya adalah milik Malaysia.

Hak saya sebagai rakyat Malaysia dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan – samarata dibawah undang-undang dan berhak dilindungi oleh undang-undang, mempunyai kebebasan asasi yang sama seperti rakyat Malaysia yang lain. Sesiapapun boleh melaksanakan hak mereka untuk berfikir dan bersuara tetapi tidak akan mengubah fakta bahawa Perlembagaan Persekutuan menjamin hak saya sebagai rakyat Malaysia.

Identiti saya sebagai rakyat Malaysia dibentuk melalui pengalaman peribadi berinteraksi dengan rakyat Malaysia yang lain di sekolah, dalam komuniti dan di dalam tempat kerja saya. Saya telah belajar untuk menghargai perbezaan budaya, makanan serta kepercayaan rakan saya yang lain dan saya menjadi lebih kaya dengan pengalaman ini. Saya menghargai nilai etnik dan agama yang dibawa oleh leluhur saya apabila mereka datang ke tanah ini berdekad-dekad yang lalu, namun saya adalah rakyat Malaysia kerana saya mendakap kejamakan budaya dan nilai rakyat yang membentuk Malaysia. Ianya adalah rahmat buat saya untuk dilahirkan di negara ini, untuk membina keluarga saya di sini, bekerja di sini dan menyumbang kepada Malaysia dengan cara saya sendiri.

Pada Hari Malaysia ini, saya ingin mengambil kembali negara ini dan tidak akan menyerahkannya kepada politik dan pentaksub yang hanya ingin memuaskan agenda sempit dan berkepentingan mereka. Mereka tidak boleh menunjal-nunjal tempat saya tetapi saya akan sentiasa mengingatkan mereka di mana letak duduk tempat mereka. Mereka sepatutnya berkhidmat untuk kita, iaitu Rakyat dan bukannya untuk diri sendiri atau kelompok sendiri. Mereka tidak boleh mendiskriminasikan mana-mana rakyat Malaysia berdasarkan etnik, kepercayaan agama, kedudukan sosial atau apa yang mereka buat di belakang pintu. Bersama-sama rakyat Malaysia yang lain, saya akan berdiri teguh dihadapan pembuli-pembuli ini.

Ya, saya tidak segan untuk dikenali sebagai rakyat Malaysia. Kemanapun saya mengembara di dunia ini, saya dengan bangganya akan mengatakan bahawa saya adalah rakyat Malaysia dan berbangga dengan kekayaan kebudayaan kita yang secara sejarah dan geografinya, kita beruntung untuk menerima mereka yang berhijrah ke sini yang mewakili sebahagian daripada ketamadunan yang agung suatu ketika dulu dan hasilnya, kita mempunyai nilai, kebudayaan, makanan dan bahasa yang unik. Malaysia adalah milik saya dan saya adalah milik Malaysia. Jangan sesekali mengatakan perkara yang sebaliknya kepada saya.

Selamat Hari Malaysia ke-56, Negaraku yang ku sayangi!

Oleh : Thomas Fann