Jangan Melompat, Kita Perlu Pembangkang Yang Kuat

Posted on December 17, 2018

0


JanganMelompat
Dengan arus deras MP UMNO di Semenanjung dan Sabah meninggalkan parti mereka serta mengisytiharkan sokongan mereka kepada kerajaan Pakatan Harapan, kehancuran UMNO yang pada satu ketika dahulu yang maha kuat semakin cepat dan berkemungkinan menyebabkan mereka hilang dalam radar politik.

Ramai penyokong gabungan Pakatan Harapan mungkin seronok melihatkan PH akan mengukuhkan pemerintahan mereka dengan lebih teguh, memastikan keadaan politik lebih stabil dan meningkatkan kemungkinan untuk mendapat sokongan majoriti 2/3 di parlimen, sekaligus membolehkan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membawa reformasi institusi secara struktural.

Selain daripada kerisauan berasas yang lompat parti secara pukal ini mengkhianati kepercayaan pengundi yang mengundi parti mereka, kegusaran juga pada golongan ini akan membawa DNA UMNO ke dalam PH apabila mereka diserap ke dalam parti-parti komponen PH.

Apabila ini berlaku, ini akan mengkhianati suara rakyat yang mengundi pada PRU14 demi mengharapkan kerajaan pada penggal kali ini secara substansinya berbeza dari sudut kebertanggungjawapan dan integriti yang lebih tinggi daripada kerajaan sebelumnya.

Namun kebimbangan yang lebih besar adalah tentang demokrasi di Malaysia, siapakah yang akan tinggal untuk menjadi Pembangkang di Parlimen sekiranya semua orang ingin menjadi sebahagian daripada kerajaan?Juga menjadi persoalan sekiranya kita memerlukan pembangkang, tidakkah kerajaan akan berjalan dengan lebih licin tanpa pembangkang yang cerewet?

Benjamin Disraeli, Perdana Menteri Britain pada abad ke 19 pernah berkata, “Tidak ada Kerajaan yang akan bertahan tanpa Pembangkang yang kuat”. Kenyataan ini nadanya seolah bertentangan tetapi ada logiknya.

Menggunakan analogy sukan tinju, dimana peninju yang masih dalam latihan harus berterusan berlatih dengan peninju yang lain, dan kemampuannya hanya akan meningkat apabila teman bertinjunya itu juga seorang yang hebat. Jika teman bertinjunya lemah, sudah tentu dia tidak akan menggunakan had potensi yang terbaik dan akhirnya akan menjadi kendur dan lemah.

Pembangkang yang kuat dan bertanggungawab akan memberi semak imbang dan memastikan Kerajaan bertanggunghawab terhadap janji yang ditaburkan kepada pengundi. Mereka akan menyemak setiap undang-undang dan polisi untuk mencari kelemahannya. Mereka mungkin berbuat demikian untuk mendapat kelebihan dalam politik namun ia akan memaksa kerajaan membentuk polisi yang baik untuk memenangi hati rakyat.

Parti politik wujud untuk mewakili ideologi tertentu yang dikongsi oleh para penyokongnya. Mereka bertanding dengan mempromosikan idea mereka untuk mewujudkan masyarakat yang lebih baik dan cuba untuk memenanginya di pentas yang sama rata bagi membentuk Kerajaan semasa pilihan raya.

Dalam demokrasi, ada yang akan menang lebih banyak kerusi berbanding yang lain. Bagi pemenang, mereka dapat mengimplementasikan undang-undang dan polisi terbaik yang menjadi cerminan ideologi mereka tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian secara total apabila adanya Pembangkang yang kuat. Mereka akan dipaksa untuk menjad lebih inklusif demi mempertimbangkan pihak yang tidak mengundi mereka dan suara ini akan digemakan oleh ahli politik pembangkang.

Jangan kita lupa, Pembangkang ada hak untuk didengari kerana mereka juga mewakili pengundi yang mempunyai hak yang sama dengan pengundi yang mengundi parti yang memenangi pilihan raya.

Pada PRU14, Pakatan Harapan hanya memenangi 48% undi popular yang baki peratusannya dikongsi bersama oleh parti yang kalah. Maka, penyingkiran wakil Pembangkang adalah bererti penyingkiran 52% pengundi yang lain.

Untuk demokrasi membuahkan hasil, kita memerlukan Kerajaan dan Pembangkang yang bertanggungjawab untuk saling tegur menegur demi kebaikan negara, membawa perpaduan bukannya perpecahan serta membina dan bukannya meruntuhkan negara.

Politik identiti dan populisme akan menghancurkan golongan minoriti yang akan mengoyakkan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Kita perlu kembali kepada kesopanan dan mempromosikan penalaran di peringkat awam.

Parti-parti politik perlu mencari ideologi yang tidak perkauman untuk bertanding bagi mendapat mandat mentadbir kita, tidak kira kapitalisme, sosialis, konservatisme, ‘enviromentalism’. Liberalisme, demokrasi sosial atau bahkan teokrasi atau marxisme.

Semua parti Pembangkang harus melihat diri mereka sendiri sebagai Kerajaan menunggu dan mesti bertindak selari, walaupun duduk di kerusi pembangkang. Sekiranya rakyat tidak melihat mereka berkelakuan matang dan bertanggungjawab, maka apakah mereka harus diundi sebagai Kerajaan dalam pilihan raya yang akan datang?

Parti pembangkang dulunya mengambil masa selama enam dekad sebelum menjadi kerajaan walaupun dalam keadaan padang yang tidak sama rata. Rakyat Malaysia tidak akan lagi susah untuk menukar kerajaan pada masa akan datang sekiranya kerajaan sekarang mengecewakan mereka tetapi adakah rakyat akan ada alternatif lagi untuk membuat pilihan?

Nasihat saya kepada ahli politik Pembangkang yang sedang memikirkan untuk menukar parti atau kesetiaan tolong pertimbangkan semula perkara ini. Sebaliknya, persiapkanlah diri untuk menjadi alternatif yang sebenar kepada Kerajaan sekarang.

Jadilah ejen semak dan imbang yang sepatutnya menjadi tugas anda, jadi suara kepada rakyat dan dalam satu tempoh masa anda akan mendapat penghormat serta hak untuk mentadbir semula. Jangan lompat kerana kami perlukan anda untuk menjadi Pembangkang yang baik.